Sunday 29 September 2013

Maafkanku membiarkanmu dalam penantian.



Kumulakan tulisan ini dengan rintihan kepada Allah. Mudah-mudahan rintihan ini menjadi rintihan mu juga.Ya Allah… aku yakin apa yang Kau takdirkan ini adalah yang terbaik buat dunia dan akhirat kami. Kami lemah ya Allah… namun Kami tetap yakin Kau menguji kami ini dengan maksud baik. Kau tidak akan menimpakan kesusahan di luar kemampuan kami menanggungnya. Kami berdoa ya Allah… ujian ini menjadi tebusan pada dosa-dosa kami yang lalu, kini dan akan datang. Sesungguhnya kami ini hamba ya Allah… ujian inilah yang menusuk ke hati lalu mengetuk pintu rasa yang selama ini sudah semakin alpa bahawa kami ini hakikatnya hanyalah seorang hamba yang hina.

Syukur ya Allah … kerana Kau anugerahkan rasa yang termahal ini di celah-celah kepahitan dan penderitaan. Jika tidak kerana ini, kami akan terus lalai, terbuai-buai dan akhirnya mati tanpa merasai hakikat cinta-Mu yang sebenar. Cebisan cinta suci dan sejati ini mudah-mudahan akan hidup subur dan mampu menghidupkan hati kami yang semakin mati.

Assalamualaikum Yang dikasihi. Maafkan diriku membiarkanmu dalam penantian.Tidak membalas “message”mu bukan bermaksud hendak menghukum mu. Tetapi aku yakin ini akan menjaga hubungan antara kita. aku cuba tenang disini kerana aku yakin kau bahagia disana tanpa ku. Mungkin pergaulan lelaki dan perempuan biasa bagi mu, tetapi tidak biasa pada pandangan ku.  Hatiku cuba tersenyum bahagia melihat dirimu bahagia bersama sidia. Curiga ku bukan kerana prasangka. Cemburu ku bukan kerana melulu. Jauh sekali.

Aku pergi menuju Allah… memperbaharui langkahku, menguatkan jiwaku untuk memburu kecintaan-Nya…Hadapilah kenyataan yang sudah termaktub sejak azali ini. Kesedihan dan air mata tidak akan meredakan hati apalagi menyelesaikan masalah. Aku sentiasa berdoa untukmu.
Allah telah selamatkan kita dari perpisahan kerana terlalu cinta. Dan perpisahan itu tak akan boleh kita cari-cari atau rancang-rancang kecuali dengan satu peristiwa yang kita tidak sangka. Itulah rahmatnya perpisahan yang tidak diminta dan dijangka ini.

Di antara kita adalah Allah. Aku lelah dan kalah untuk meneliti dan memeriksa di seluruh penjuru. Aku tidak dapat mengawal hati mu dan kau juga tidak dapat mengawal hatiku.Hati kita berdua, Allahlah yang menjadi pemantaunya. Menyedari hakikat ini, aku kini hanya fokus untuk memperbaiki diri. Aku ingin memperbaiki hubunganku dengan Allah dan memperbaiki hubunganku dengan sesama manusia. Aku yakin Allah tidak akan mengecewakanku. Dan aku juga yakin Allah akan terus memberi kebaikan-Nya kepadaku melalui dirimu.

Maafkan diri ini andai melukaimu. aku yakin ini yang terbaik. Sekiranya benar ada pertemuan antara kita pasti kita akan bersua lagi. rehatkan hati dan mindamu. Cuba tenangkan perasaan. aku bukanlah segala-galanya dalam hidupmu yang singkat ini. Harapkan yang terbaik tetapi bersedialah menghadapi yang terburuk. Jika terpaksa kehilangan cinta itu bukan bukan bermakna kehilangan segala-galanya. Aku bimbang  kita akan kecundang.

Aku berdoa dan berharap kau begitu jua. Jangan dilayan rasa dan sangka yang bukan-bukan. Banyak tugasmu yang sedia ada dan bertambah lagi akibat perpisahan ini. Jaga kesihatan hati dan badanmu. Masa keemasan ini gunakanlah untuk memperkemaskan diri. Samada hubungan kita dengan Allah dan dengan manusia.

Aku mengingatkan diri ku dan diri mu kerana sayang. Itulah yang ada di hatiku. Dan itulah jua yang aku harapkan, doakan ada dalam hati mu.Jika dalam surat ini ada kesedihan… ia bukan kekecewaan tetapi itu hanya harapan. Jika dalam surat ini ada teguran… itu bukan kebencian tetapi itu hanya peringatan, buat ku dan buat mu jua. Namun, ku akui dalam surat ini terlalu banyak doa dan harapan. Doa ku hanya pada Ilahi.  Jika air mata itu berkesan, nescaya akan tulis surat ini dengan air mata. Bukan air mata kecewa tetapi air mata harapan…

Ku harap kau membaca surat ini dengan hati yang terbuka. Mohon berundur dulu. Pasangan yang bahagia bukanlah tidak pernah membuat kesilapan. Tetapi mereka tetap bahagia kerana mereka sentiasa belajar mengakui kesilapan itu dan belajar daripadanya… dan akhirnya melupakannya! Itulah aku kini. Ku akui kesilapan ku dan aku sedang memperbaikinya dan aku ingin melupakannya…Jodoh, itu janjinya :')


Assalamualaikum ustazah...

Popular Posts

Followers